Selamat Datang Ke Portal Rasmi Cuepacs

Sejarah CUEPACS

Enakmen Kesatuan Sekerja mula diperkenalkan pada tahun 1940 tetapi tiada kesatuan sekerja ditubuhkan sehingga dan selepas perang di mana para pekerja disusun di bawah kesatuan sekerja. Mereka disusun mengikut status jabatan atau ketukangan. Tidak lama selepas mereka menyedari bahawa ada banyak kesatuan sekerja yang berganda/bertindih dan mempunyai bidang dan fungsi yang sama yang tidak memudahkan untuk perjuangan bersama. Pada tahun 1948 beberapa orang pemimpin kesatuan-kesatuan sekerja sector awam telah mengambil langkah yang pertama bagi menubuhkan suatu badan kebangsaan iaitu Majlis Kakitangan Perkhidmatan Kerajaan (Government Services Staff Council) yang mewakili 40 badan Kesatuan Sekerja Sektor Awam.

Matlamat utama Majlis tersebut ditubuhkan ialah untuk menggalakkan kerjasama antara kesatuan, tanpa melibatkan diri dalam autonomi individu hal ehwal pentadbiran kesatuan-kesatuan berkenaan, dan demi memperjuangkan kepentingan dan kebajikan bersamaanggota--anggota yang bergaji bulan daripada kesatuan-kesatuan yang menyertainya. Peraturan-peraturan Majlis Kakitangan Perkhidmatan Kerajaan telah diluluskan di persidangan penaja pada 3 April 1949 dan berpejabat di No. 1362, Jalan Kandang Kerbau (sekarang Jalan Padang Belia), Brickfields, Kuala Lumpur.

Majlis ini dianggotai oleh sebanyak 8 buah kesatuan dan apabila dibubarkan untuk memberi laluan kepada penubuhan CUEPACS sebanyak 48 kesatuan bergabung dengannya. Majlis ini telah memainkan peranan yang penting dalam hal ehwal kebajikan anggota sector awam dan juga telah menyumbang kepada kejayaan Majlis Kebangsaan Whitley (National Whitley Council).

Pada mulanya, Majlis ini telah menghadapi berbagai kesulitan khususnya semasa hendak memperjuangkan ke atas sesuatu isu bersama. Demi kebaikan dan kebajikan pekerja sector awam pada masa itu dan terkemudiannya, maka usaha-usaha patut diambil untuk menggalakkan semua kesatuan sector awam disusun di bawah satu badan persekutuan. Inilah yang telah menyebabkan kelulusan resolusi oleh Persidangan Perwakilan Ke Lima pada 24 April 1955 untuk menubuhkan suatu badan yang lebih berkesan iaitu CUEPACS. Di antara tujuannya ialah untuk menggalakkan semua kesatuan sekerja sector awam menyertai badan baru ini tanpa mengira jawatan atau gred perkhidmatan mereka.

Selepas melalui banyak masalah dalam penyusunan dan menyatupadukan kesatuan-kesatuan sekerja sektor awam serta memperjuangkan idea betapa pentingnya satu badan unggul maka, Kerajaan pada zaman kemerdekaan telah memberi restu. Akhirnya CUEPACS telah didaftarkan dibawah Enakmen Kesatuan Sekerja pada 23 Oktober 1957 iaitu beberapa bulan sahaja selepas Negara mencapai kemerdekaan.

Konvensyen Pertama CUEPACS telah diadakan pada 6 September 1959. Ekoran penyusunan Pejabat Pendaftar Kesatuan Sekerja maka, CUEPACS telah didaftarkan semula pada 12 November 1960 di bawah Ordinan Kesatuan Sekerja 1959 (No. Daftar : 195).